Thursday 21 July 2011

Kisah itik dan kura-kura.


Terdapat dua ekor itik dan seekor kura-kura yang bersahabat baik tinggal di suatu kawasan yang semakin kering dek kemarau panjang. Binatang-binatang yang bermastautin di situ telah lama meninggalkan tempat tersebut memandangkan semakin hari semakin sukar untuk mendapatkan makanan dan minuman. Semua kolam kering dan tumbuh-tumbuhan semakin kekuningan dimamah sinaran mentari yang hangat membahang.
Disebabkan keadaan semakin mendesak, maka dua ekor itik itupun telah berpakat dan mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan yang lebih lembab dan berair. Kura-kura berasa risau memandangkan sahabat baiknya ingin meninggalkan tempat tersebut. Dengan keadaannya yang bergerak lambat dan tidak boleh terbang seperti mereka, agak mustahil untuk dirinya mengikuti jejak langkah mereka. Maka dia pun berkatalah kepada kedua-dua ekor itik tersebut.
"Kalian hendak berpindah, nanti aku akan mati kekeringan di sini. Aku tidak mampu terbang mengikutimu mencari tempat yang lebih baik. "
"Hmmm.. betul juga kata kamu Si Kura-Kura. Owh, tidak mengapa jika kamu mahu, kami boleh membantu kamu untuk sama-sama berpindah," ujar salah seekor itik tersebut setelah berfikir seketika.
"Bagaimana?" balas kura-kura kembali.
"Kami berdua akan menggigit sebatang kayu dan kamu juga mesti menggigit kayu itu untuk sampai ke destinasi kita dengan selamat. Bagaimana, kamu setuju?" Soal itik.
"Owh, kalau begitu aku setuju," kura-kura memberi persetujuan tanpa berbelah bagi.
Maka terbanglah kedua-dua ekor itik itu mencari tempat tinggal baru bersama kura-kura. Tiba-tiba sedang melalui suatu kawasan, ada beberapa orang budak nakal yang mengejek kura-kura.
"Hei kura-kura! Ada hati nak terbang tinggi. Engkau tu dah memang semulajadinya tidak boleh terbang, ada hati nak terbang tinggi macam itik. "
Kura-kura berasa geram dan marah dengan ejekan tersebut, tetapi dia masih tidak berkata apa-apa kerana dia tahu jika dia membuka mulut pasti dia akan terjatuh.
Kedua-dua itik tersebut terus terbang meninggalkan mereka tanpa mempedulikan ejekan budak-budak itu. Setelah penat terbang mencari destinasi impian, mereka melalui satu lagi kawasan yang dipenuhi dengan budak-budak yang sedang bermain. Mereka begitu kagum dengan keberanian dan kesungguhan kura-kura.
"Kura-kura, kami kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh kamu. Walaupun kamu tidak boleh terbang, tetapi kamu berusaha dengan gigih dan mahu ditolong oleh sahabat-sahabat mu, " jerit mereka kepada kura-kura.
Disebabkan teruja dengan pujian budak-budak tersebut, maka kura-kura pun membuka mulutnya untuk menjawab pujian budak-budak itu.
'ALHAMDULILLAH, aku ingin pergi ke tempat yang lebih baik dan berair bersama itik-itik"
Sebelum sempat menghabiskan kata-katanya, maka jatuhlah kura-kura itu ke atas tanah dan berkecailah badannya.
Begitulah berakhirnya kisah Itik dan Kura-Kura. Apabila dikeji, dihina, kura-kura begitu kuat tetapi kura-kura yang dulu bersemangat kental akhirnya mati menyembah bumi dek kerana sedikit pujian.
Begitu juga dengan kita, kita akan kuat apabila dihina dan diberi pelbagai tohmahan tetapi kita mudah terbuai dengan puji-pujian. Dalam kehidupan ini, kita janganlah cepat lemah dengan kejian, dan cepat riak dengan hanya sedikit pujian.Sebaliknya sentiasa bersyukur dan jadikan setiap kejian, umpatan dan fitnah tersebut sebagai sumber kekuatan kita untuk terus berjaya. Dan jika kita dipuji, janganlah pula berasa riak. Sebaliknya kembalilah segala pujian tersebut kepada-Nya, kerana tanpa keizinan-Nya tidak mungkin kita mampu memiliki apa yang kita usahakan.
Awal pujian adalah lembah kehinaan. Janganlah kita mudah terbuai dengan pujian yang diberikan, kelak kita yang akan binasa.

Tuesday 19 July 2011

Lelaki Kacak




JANGAN DELETE HADIS DARI NABI MUHAMMAD (S.A.W) tanpa membacanya terlebih dahulu

Hadis yang Menarik

Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda : 'Bila seseorang lelaki itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya, berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikapan, lelaki itu berada di antara kain kapan dan si mati.

Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Mungkar dan Nakir, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Tapi lelaki kacak itu berkata, Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga.'

Selepas itu dia berpaling pada temannya yang meninggal dan berkata,'Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih.'

Selepas soal siasat selesai, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala'ul A'laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bauan kesturi

Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda :'Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Quran, mahupun dari nabi atau malaikat.'

Sila sebarkan Hadis ini kepada semua .......kerana

'Sampaikan pengetahuan dari ku walaupun hanya satu ayat.'

Saat Anda membwa Al-Quran, syaitan biasabiasa saja...tengok je..
Saat Anda membukanya, syaitan mulai curiga.
Saat Anda membacanya, ia resah dan gelisah.
Saat Anda memahaminya, ia kejang kejangan.
Saat Anda mengamalkan Al-Qur'an dlm kehidupan sehari-hari.ia stroke...Teruskn membaca & mengamalknnya agar syaitan terus stroke .
Saat Anda ingin menyebarkan pesanan ini, syaitan pun mencegahnya. Syaitan kata "jgn SEBARKAN, kerana ia tidak penting langsung

Monday 18 July 2011

Mitos kesihatan yang sering kita percaya

Aku ada baca banyak mitos kesihatan yang sering kita percaya dan mengamalkannya.Kita percaya semua mitos tersebut daripada percakapan orang yang dibawa dari mulut ke mulut walhal ada diantara mitos tersebut langsung tidak benar.Apabila kita hendak menurunkan berat badan, macam-macam yang kita buat kan, itulah, inilah. Alih-alih berat badan kita langsung tidak turun dan semua ini adalah kerana kita percaya sesuatu yang tidak betul.Informasi kesihatan yang salah sering berlegar dalam pengetahuan kita kerana iklan berterusan pengeluar makanan yang ingin menarik pembeli. Di bawah merupakan antara mitos-mitos kesihatan yang sempat aku baca dan kumpul.


1. Makan selepas pukul 8 malam menyebabkan kegemukan

Sebenarnya : Peningkatan ataupun pengurangan berat badan kita adalah sangat bergantung kepada perbezaan antara jumlah kalori yang diambil, jumlah tenaga yang digunakan serta kadar metabolisma badan. Kenyataan diatas mungkin boleh diterimapakai, namun tidak semua individu akan mengalami hal yang sama. Kita ambil contoh terdekat dengan melihat rakan-rakan, mahupun, ahli keluarga kita sendiri yang mungkin sering makan ketika larut malam. Sekalipun begitu, sesetengah mereka tetap tidak mengalami masalah berat badan.

Suatu kajian telah dilakukan oleh Pusat Nutrisi Dunn di Cambridge, dengan menggunakan beberapa sukarelawan. Dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama diberikan makanan tengah hari yang berat dan makanan malam yang lebih ringan. Kumpulan kedua pula, diberikan makanan tengah hari yang ringan dan makanan malam yang berat. Dengan menggunakan ‘whole body calorimeter’ yang berfungsi untuk mengukur jumlah kalori yang telah digunakan dan disimpan, kesemua sukarelawan menunjukkan tiada hubungkait antara makanan berat pada waktu malam dengan pembentukan lemak.Tidak kiralah, pukul berapa kita makan, apa yang menjadi penentu utama adalah jumlah kalori yang kita ambil dalam masa 24 jam perlulah selari dengan aktiviti fizikal yang kita lakukan.

2.Makan Lobak Merah Meningkatkan Daya Penglihatan

Benar lobak merah (carrot) mengandungi kandungan vitamin A yang tinggi (kekurangan vitamin A boleh membutakan). Namun, tidak kira berapa banyak vitamin A yang dimasukkan ke dalam badan, mata anda tidak akan menjadi mata robot, boleh melihat sejelas-jelasnya seperti kanta X-ray. Walaubagaimanapun, lumrah setiap sesuatu saling berkait. Apabila anda mengalami kesusutan vitamin A, makan lobak merah boleh membantu meningkatkan kembali tahap penglihatan.

3. Memakai Losyen Menghindari Anda Dari Kanser Kulit

Kebenaran di sini, pemakaian losyen perlindungan sinar UV boleh membuatkan anda sebagai pengguna rasa terselamat dari kanser akibat pendedahan terus cahaya matahari. Sebenarnya, losyen pelindung UV sekalipun tidak memberi perlindungan 100% kepada kanser akibat UV. UV masih boleh mencapai bahagian kulit anda. Mungkin dapat mengelakkan rasa kulit terbakar, namun perubahan genetik akibat terdedah pada cahaya matahari masih boleh berlaku. Jadi tidak kira dimana anda berada, jangan terlalu suka berjemur, kesan ekologi rumah hijau abad 21 akibat industri kita manusia patut dipersalahkan dalam hal ini.

4. Boleh Mendapat Kanser Makan Makanan Barbeku/ Bakar

Akibat kajian saintis pada asap hitam (ash), semua yang dibakar menggunakan arang dan mengeluarkan asap hitam dikatakan pemangkin kanser (carcinogen). Walaupun benar asap hitam mengandungi heterocyclic aromatic amines (HAAs), tiada bukti perkaitan terus yang menunjukkan makanan barbeku/dibakar boleh menyebabkan kanser. Ini kerana bahan carcinogen (walaupun ada) yang terdapat dalam makanan barbeku adalah terlalu sedikit (not biologically significant) tidak mencapai tahap yang boleh memulakan kanser dalam badan.

5. Minum ‘Coffee’ berperanan menurunkan berat badan

Mengamalkan minum kopi setiap pagi dianggap mengurangkan selera makan dan meningkatkan kadar metabolisma badan. Tetapi, sebenarnya kesan ‘tiada selera makan’ yang dicetuskan daripada minuman kopi ini hanya sementara dan tidak memberikan impak yang nyata dalam penurunan berat badan.Mengamalkan kopi ini sebenarnya bukan sahaja mengakibatkan gangguan tidur, bahkan turut boleh mengakibatkan kegemukan. Kenapa? Sekurang-kurangnya dua kajian telah membuktikan individu yang mengalami gangguan tidur (salah satu faktor : mengamalkan kopi) cenderung untuk meghasilkan lebih banyak hormon ghrelin, hormon yang meningkatkan selera makan. Selain daripada itu, hormon leptin, hormon untuk mengurangkan selera makan, kurang dihasilkan. Justeru, individu tersebut semakin berselera untuk makan lantas menjadi punca kepada kegemukkan. Ini merupakan kajian yang dibuat di Universiti California.


6. Diet Rendah Lemak Adalah Cara Sihat Mengurangkan Berat Badan

Pengambilan makanan rendah lemak (jika keterlaluan), boleh menyebabkan badan kekurangan tenaga untuk pertumbuhan badan yang sihat. Hakikatnya, obsesi pada makanan rendah lemak dikatakan menjadi punca kepada penentangan badan terhadap insulin. Cara terbaik dan sihat untuk mengurangkan berat badan adalah hanya melalui pemakanan seimbang dan senaman berterusan.

7. Pisang Menggemukkan

Sebenarnya pisang adalah rendah lemak, hanya setengah gram lemak dan 95 gram kalori di dalamnya. Malah, pisang adalah tinggi potassium dan pelbagai pakej kesihatan yang banyak. Juga, pisang adalah lebih berkhasiat berbanding epal.

8. Tidak Mengapa Langkau Makan Pagi/Sarapan

Sarapan adalah penting. Sebenarnya makan pagi juga boleh diibaratkan sebagai sesi berbuka puasa setelah semalaman tidak makan (tidur). Walaupun ramai orang dapat mengembalikan tenaga semula pada sesi makan tengahari, namun tiada sesi makan yang lebih efisien berbanding serapan khasiat dan tenaga yang mampu diperolehi akibat bersarapan.

9. Asalkan makan makanan sihat, makan banyak mana sekalipun tidak mengapa

Tidak! Anda silap. Makanan sihat sekalipun, tetap memiliki kalori. Kalori tetap kalori. Sungguhpun oatmeal makanan sihat, sekiranya diambil empat cawan oatmeal, kalorinya akan terjumlah yang boleh memudarat dan seterusnya menjejaskan perancangan diet anda.

10. Berlapar boleh membantu dalam mengurangkan berat badan

Apabila berpuasa, badan kita akan mula membakar lemak yang ada tersimpan untuk menghasilkan tenaga. Hasilnya berat badan kita akan turun seperti yang diharap-harapkan. Tetapi, menurut Claire MacEvilly, pakar nutrisi di MRC Pusat Kajian Nutrisi Manusia di Cambridge, “Berlapar atau berpuasa bukan sahaja membakar lemak, bahkan turut membuatkan pengecutan otot berlaku”

Sekiranya Pengecutan otot berlaku, ini membuatkan kadar metabolisma badan kita mula menurun. Kadar metabolisma ini merupakan kayu-ukur kepada kalori yang diperlukan oleh badan dalam sehari. Apabila kadar metabolisma menurun, badan kita memerlukan kalori yang lebih kecil berbanding sebelumnya. Sekiranya kita berhenti mengamalkan rutin berlapar, dan mula makan seperti biasa. Justeru, kalori yang diambil sudah pasti lebih tinggi daripada keperluan badan, lantas kita akan cenderung untuk mengalami peningkatan berat badan.


11. Orang Gemuk Kerana Memiliki Metabolisma Badan Yang Rendah

Mitos ini adalah tanggapan biasa di kalangan mereka yang mengalami kegemukan. Namun, anda tidak boleh menyalahkan faktor ini sahaja terhadap keadaan fizikal anda yang berlebihan berat badan. Malah, kajian terkini menyatakan orang gemuk memiliki tahap metabolisma badan yang lebih tinggi berbanding orang biasa, dalam erti kata lain, orang gemuk kebiasaannya cepat lapar.

12. Anda Hilang Banyak Haba Melalui Kepala

Tiada keistimewaan langsung antara haba badan dan bahagian kepala anda. Haba badan boleh keluar melalui mana-masa sahaja bahagian badan yang tidak tertutup.

13. Suhu Sejuk Menyebabkan Anda Sakit

Dalam kajian pindahan penyakit akibat suhu sejuk, mereka yang berehat di dalam rumah lebih mudah jatuh sakit berbanding mereka yang keluar masuk. Kebarangkalian suhu sejuk menyebabkan ramai berlindung di dalam rumah dan pada masa yang sama pengudaraan yang tidak baik dan keadaan lembap memberi kelebihan bagi bakteria terperangkap menjangkiti anda.

14. Perlu Buang Air Besar Sekurang-kurangnya Sekali Sehari

Pendapat ini hanya setengah betul. Kerap buang air besar memang benar boleh mengilangkan rasa tidak selesa dan sembelit namun orang yang sihat tidak semestinya perlu membuang air besar setiap hari. Malah sembelit hanya didefinasikan sebagai orang yang membuang air besar kurang dari tiga kali seminggu.

15. Makanan Yang Terjatuh Dan Diambil Kembali Cepat-Cepat Adalah Selamat

Makanan yang terjatuh pada lantai tile dan kayu mengambil bakteria dengan banyak. Makanan yang jatuh diatas karpet bersih bagaimanapun tidak mengambil banyak bakteria namun mengambil bulu karpet yang terlekat padanya.haha

Wednesday 8 June 2011

Pertunangan dan Perkahwinan

Pertunangan dan Perkahwinan
KEMERIAHAN majlis pertunangan masih terasa walaupun saudara-mara dan jiran tetangga mulai beransur pulang. Bau harum bunga rampai mengisi segenap ruang rumah itu.

Azian membelek-belek sirih junjung yang disusun dalam bentuk mahkota. Kemudian dia beralih pula pada gubahan halwa betik yang diukir cantik.

"Amboi! Kak Yan. Bertuahlah si Murni. Orangnya lawa. Hantaran mahal. Setakat ni, dialah yang dapat hantaran paling tinggi kat kampung ni. Anak imam Hasan yang bertunang baru ni pun cuma empat ribu saja," jolok Zabedah. Tangannya menjamah sebiji buah prun daripada gubahan berbentuk landak.

"Aku ni bukan apa, Bedah. Ini kenduri pertama aku. Anak perempuan pula tu. Biarlah meriah sikit. Nak tunggu si Manisah tu kahwin, alamat berjanggutlah aku. Asyik nak sambung belajar saja. Nanti dah siap Ph.D pun solo lagi," jawab Azian dengan tersenyum lebar.
Murni yang duduk di sebelah ibunya hanya menjeling.

"Kak Yan, jangan buat-buat lupa pula. Saya dah cop nak andam si Murni. Nanti saya jahit baju songket baru. Biar Murni yang rasmikan. Kalau tak nak songket, boleh guna sutera sandwash ke, satin sutera ke, sutera Thai ke, renda Perancis ke. Pelamin pun saya nak buat design baru punya. Lagi hebat daripada anak YB yang kahwin baru- baru ni," kata Zabedah sambil menepuk-nepuk bahu Azian. Matanya bersinar-sinar.

"Aku serahkan kat engkau sajalah, Bedah. Pandai- pandailah kau atur. Janji terbeliak mata orang kampung tengok," ujar Azian tersenyum bangga.

"Cukup ongkosnya, bisa diatur," ujar Zabedah dengan ketawa mengilai.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa' ayat 36:

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan dirinya.


Dari tempat duduk di kantin kilangnya, Amir termenung memerhatikan sehelai daun kering yang terbang ditiup angin. Daun kering itu tidak ubah seperti dirinya kini. Dibawa oleh angin nasib yang entah bagaimana penghujungnya nanti. Dia masih dihantui oleh peristiwa kelmarin. Kelmarin yang diimpikannya sebagai gerbang kepada sebuah kebahagiaan namun rupa-rupanya menjadi satu permulaan kepada mimpi ngeri yang panjang.
"Bukan tujuan saya nak jual anak. Che Din faham- fahamlah. Harga barang sekarang makin mahal. Jadi dengan seikhlas hati saya minta hantaran RM9,000 serba berdiri untuk Murni. Satu lagi kakaknya, Manisah, pun belum kahwin. Jadi untuk langkah bendulnya, saya pun nak minta serba berdiri. Ala orang perempuan. Nanti kecil hatinya."

Betapa pun lembut suara ibu Murni menuturkan kata-katanya namun di telinga Amir, ia umpama petir yang membelah bumi. Dia yang ikut sama dalam majlis peminangan dan pertunangan itu tersentak. Dia memandang wajah ayahnya yang kelat. Begitu juga ibunya yang duduk di sudut yang lain. Wajahnya yang tadi begitu anggun dan manis berubah menjadi gelisah. Diikutkan hatinya, mahu sahaja dia bertempik di situ. Tapi teringatkan Murni yang menangis-nangis memintanya masuk meminang segera kerana ada orang lain yang telah merisik-risik dirinya, Amir beristighfar berkali-kali.

"Amir, Murni tak tahu pun pasal hantaran sembilan ribu tu. Murni dah cakap dengan mak macam yang kita dah bincang. Mir, ini semua rancangan mak. Murni dah puas merayu kat dia. Tapi dia tetap dengan pendirian dia. Abah pun tak boleh buat apa- apa," suara Murni bersulam esak tangis kedengaran di hujung talian ketika dia menghubunginya petang kelmarin.

Amir melepaskan keluhannya. Dia tidak lupa bagaimana sepanjang dua jam dalam perjalanan pulang dari rumah Murni, tidak ada sepatah kata pun yang keluar dari mulut ayahnya. Wajahnya bersalut kekesalan. Ibunya pula sesekali mengesat air mata yang menitis secara diam-diam. Amir serba salah kini. Benar-benar tersepit. Antara perasaan sayang kepada Murni dan kemampuannya yang belum tentu dapat memenuhi permintaan ibu Murni.

"Mir, jauhnya engkau termenung. Dah sampai mana?" usik Hafiz. QC yang berusia lima tahun lebih tua daripadanya itu duduk di sebelahnya.

"Entahlah, bang. Pening saya dibuatnya. Orang nak kahwin seronok. Saya nak kahwin, terperonyok."

"Dalam maknanya tu. Apa masalahnya? Murni? Duit? Kumpullah perlahan-lahan."

"Kalau seribu dua, senanglah nak cerita. Ini sembilan ribu. Dua kali serba berdiri pulak tu. Bertunang nak setahun saja. Saya nak bayar kereta, loan masa belajar kat kolej dulu lagi. Ini mak dia punya pasallah," keluh Amir seakan-akan melepaskan rasa marah.

"Abang dah rasa dulu, Mir. Tapi taklah teruk macam ni. Keluarga mentua abang sporting. Cuma sebab keluarga abang orang susah, terpaksalah abang buat pinjaman peribadi untuk hantaran, buat kenduri sikit, baiki rumah ayah abang yang dah nak rebah tu," ujar Hafiz mengimbas kenangan lalu. Setelah tiga tahun, dia kini masih dalam proses melangsaikan hutangnya.

"Pinjaman peribadi?" Mata Amir terbeliak mendengar perkataan itu.

"Abang pinjam RM15 ribu. Tempoh 10 tahun. Bulan- bulan abang bayar RM198. Nak buat macam mana? Harapkan duit simpanan, tak kahwin la sampai bila-bila," ujar Hafiz sambil menggeleng- gelengkan kepalanya.

Amir hanya tersenyum pahit.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan. (Riwayat at-Tirmizi)


"Abang cadang kali ni nak buat kenduri kat depan masjidlah. Apa pandangan Jah?" tanya imam Hasan.

"Pelik bunyinya tu, bang. Kenapa kali ni nak buat kat depan masjid pulak?" tanya Khadijah sambil mengerutkan dahinya. Baju yang sedang dijahit sembat diturunkannya ke atas riba.

"Banyak kelebihannya, Jah. Alang-alang buat majlis akad nikah kat masjid, baik terus buat kenduri kat sana. Orang senang nak datang. Bila masuk waktu solat, tempat dah tersedia. Lagipun masjid kan rumah Allah. Cari berkat. Masing- masing tentu segan nak buat tak tentu hala. Pakai baju elok-elok. Cakap pun elok-elok. Taklah segan yang tak ada barang kemas tu nak datang. Jah tengoklah nanti. Kalau orang kampung dah sedar kelebihannya, tentu mereka pun nak buat kenduri kat depan masjid juga. Kita cuba hidupkan semula budaya menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti harian masyarakat Islam."
"Saya setuju, bang. Lagi elok kalau kita buat kenduri sederhana saja. Jangan membazir dengan benda-benda yang mahal. Tak perlulah pelamin, band, karaoke. Duit hantaran tu kita kasi semua pada Syikin. Nanti lepas kahwin, banyak dia suami isteri nak pakai duit. Nak mulakan hidup barulah katakan. Tak payah nak berhutang-hutang."

"Jah cakap macam tu, senanglah urusan abang. Nanti tinggal bincang dengan AJK masjid dan orang kampung macam mana nak uruskan 
majlis. Kita buat cara gotong-royong macam selalu."

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Furqan ayat 67:

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kedekut, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.


Azian tekun mencatatkan sesuatu. Sesekali jari- jemarinya yang pendek berisi pantas menekan- nekan mesin kira sebesar tapak tangan yang diletakkan di atas meja.

"Buat apa tu, Yan? Tekun benar nampaknya. Abang balik pun sampai tak perasan," usik Hamid bila mendapati isterinya tidak menoleh-noleh setelah lantai yang dipijaknya berbunyi.

"Ala. Yan tengah kira persiapan kenduri kita nanti. Kad jemputan, katering, sewa kanopi, mak andam, pelamin, bunga telur, kereta pengantin, jurugambar, video, deejay, kek pengantin, karaoke, penginapan rombongan besan, barang hantaran, baju pengantin..."

"Yan, kan tunangnya setahun. Lama lagi," tegur Hamid. Dia menambah kelajuan kipas angin sebelum menyandarkan tubuhnya ke sofa warna biru di ruang tamu rumahnya.

"Setahun tak lama, Encik Hamid oi! Yan dah selak banyak majalah pengantin. Macam-macam tip yang dia orang sediakan termasuklah fasal persiapan. Dalam setahun nak buat apa. Lagi lima bulan nak buat apa. Tiga bulan nak sedia apa. Abang orang lelaki apa tau. Ini bidang kepakaran orang pompuanlah!" tingkah Azian. Dia kembali menyambung kerja-kerjanya.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa' ayat 37 - 38:

Dan Kami telah menyediakan untuk orang- orang kafir seksa yang menghinakan. Dan (juga) orang-orang yang menafkahkan harta-harta mereka kerana riya' kepada manusia.


Hamid tersenyum nipis melihat gelagat isterinya yang begitu teruja hendak mengadakan kenduri kahwin buat pertama kali. Baginya, kalau orang berpendapatan sederhana, kenduri yang akan diadakan pun sederhana juga. Tidak perlu bertanding dengan orang yang kaya-raya sehingga terpaksa meminjam bergolok-bergadai. Orang kaya mempunyai kemampuan mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran. Namun ada juga yang mengadakannya secara sederhana kerana tidak mahu membazir. Walaupun pengantin digelar raja sehari tetapi apalah gunanya jika selepas itu dia menjadi hamba kepada hutang sepanjang usia perkahwinan.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Isra' ayat 26 - 27:

Dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros- pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.

Hamid sedar sudah menjadi kebiasaan masyarakat hari ini yang berasa malu jika membuat kenduri kahwin hanya secara kecil-kecilan. Bimbang dengan umpat keji masyarakat sekeliling. Sanggup pula berhutang untuk 'menutup' mulut orang. Alangkah baik kalau duit itu digunakan untuk membayar deposit membeli rumah atau membeli benda lain yang lebih bermanfaat. Namun pada hari itu, bukan masa yang sesuai untuk dia menasihati isterinya yang sedang ghairah hendak menimang menantu.
Zabedah mengeluarkan beberapa katalog pakaian pengantin dari laci meja tulisnya. Kemudian katalog itu diserahkan kepada Murni yang datang ke butiknya dengan ditemani oleh ibunya.

"Ini semua fesyen baru. Kebaya labuh, baju pendek potongan kembang, blaus pendek ala kebaya, baju Riau, gaun ala-ala baby doll pun ada. Badan engkau pun langsing. Takkan dalam tempoh lima bulan ni boleh membesar. Kalau naik pun sikit saja. Pandai-pandailah jaga badan. Nanti acik bagi petua-petua bakal pengantin. Ha. Yang ini pula rawatan kecantikan. Ada rawatan muka, rambut, urut, lulur, mandi rempah, mandi susu. Kahwin ni tak cukup dengan solek dan berdandan. Kalau badan bau tengit, alamat tak sampai sebulan. Lari laki engkau!" Becok mulut Zabedah menerangkan hingga Azian tidak sempat menyampuk.

Murni pula hanya mengunci mulutnya. Tangannya membelek-belek hambar setiap katalog yang disuakan kepadanya.

"Berapa harganya Bedah? Engkau dari tadi tunjuk macam-macam," Azian cepat-cepat bersuara sebelum Zabedah membuka mulutnya semula selepas menarik nafas buat seketika.

"Alah Kak Yan. Dengan Kak Yan, saya bagi harga istimewa. Murni pilih dulu, lepas tu baru kita kira. Jangan risaulah, Kak Yan. Kita kan dah lama kawan. Kak Yan dapat priority daripada saya. Pelanggan istimewa katakan," ujar Zabedah memberi jaminan. Tetapi hatinya berasa cuak bila melihat reaksi Murni yang dingin. Sejak tadi dia hanya membelek-belek katalog tanpa berkata sepatah pun. Dia bimbang Murni tidak berkenan dengan fesyen dan perkhidmatan yang ditawarkannya.


Murni duduk di tepi tingkap. Pandangannya dibuang jauh. Sejauh yang boleh. Mungkin sampai ke Jerman, mengekori langkah Amir yang semakin sayup.

"Murni, Amir minta maaf kalau tindakan Amir ni melukakan hati Murni. Amir tahu. Maaf ni tak mampu nak mengubat luka di hati Murni. Amir pun terluka. Dah lama Amir terluka sejak hari pertunangan kita. Tapi demi masa depan, Amir pilih jalan ni. Tawaran sambung belajar ke peringkat ijazah ni memang dah lama Amir tunggu. Lagipun kilang tempat Amir kerja yang bagi biasiswa. Amir tak boleh lepaskan peluang ni. Tanpa ilmu, manusia tidak ada nilainya. Bila Amir dah bergaji besar, mungkin itu yang akan membuka mata mak Murni pada Amir. Kalau ada jodoh, lepas Amir habis belajar nanti, kita fikirkan semula tentang hubungan kita. Tapi kalau dalam tempoh Amir belajar ada orang yang meminang Murni, terimalah. Jangan tunggu Amir."

Setitis air mata jatuh ke pipinya. Namun tidak sehebat tangisan ibunya yang bertukar menjadi raungan sebaik sahaja menerima berita itu. Rombongan daripada pihak keluarga Amir memohon ampun dan maaf kerana terpaksa menangguhkan rancangan mereka. Ayahnya menerima perkara itu dengan tenang dan tidak meminta apa-apa ganti rugi daripada pihak keluarga Amir. Hanya ibunya yang menjerit-jerit histeria selepas rombongan keluarga Amir balik. Ibunya berasa malu dan takut bukan kepalang. Sebahagian persiapan telah dibuat. Orang kampung juga sudah tahu yang dia merancang hendak mengadakan majlis perkahwinan Murni di Dewan Tun Idris.

Berita itu bukan sahaja menjadi tamparan hebat kepada Azian malah kepada Zabedah juga. Dia berasa sesak nafas kerana telah menolak banyak tempahan semata-mata hendak memberikan tumpuan terbaik untuk anak sahabat karibnya itu.

Kita sewajarnya tidak terlalu ghairah berbelanja besar sehingga lupa bahawa selepas majlis perkahwinan kita akan memulakan hidup baru bersama pasangan di rumah sendiri. Bagi yang merancang tinggal bersama keluarga atau mentua, mungkin mereka agak kurang bermasalah dari segi menyediakan perkara asas. Tetapi bagi mereka yang ingin tinggal bersendirian, rumah sewa sepatutnya sudah diperoleh dua atau tiga bulan sebelum berkahwin.

Sekiranya kita membudayakan majlis perkahwinan yang sederhana, sudah tentu perkara-perkara negatif seperti berhutang, menunjuk-nunjuk, membazir dan sebagainya dapat dijauhi. Perkahwinan adalah ibadah dan sunnah Rasulullah s.a.w. Namun jika ia dicemari dengan perkara- perkara yang tidak baik, dibimbangi nanti matlamat untuk melaksanakan ibadah tidak tercapai.


Monday 6 June 2011

Sebuku Roti Penebus Dosa ( TAUBAT DAN BERSEDEKAH )

Assalamualaikum...
Bismillahirahmanirahim...

Abu Burdah bin Musa Al-Asy’ari meriwayatkan, bahawa ketika menjelang wafatnya Abu Musa pernah berkata kepada puteranya: “Wahai anakku, ingatlah kamu akan cerita tentang seseorang yang mempunyai sebuku roti.”

Dahulu kala di sebuah tempat ibadah ada seorang lelaki yang sangat tekun beribadah kepada Allah. Ibadah yang dilakukannya itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun. Tempat ibadahnya tidak pernah ditinggalkannya, kecuali pada hari-hari yang telah dia tentukan. Akan tetapi pada suatu hari, dia digoda oleh seorang wanita sehingga diapun tergoda dalam pujuk rayunya dan bergelumang di dalam dosa selama tujuh hari sebagaimana perkara yang dilakukan oleh pasangan suami-isteri.
Setelah ia sedar, maka ia lalu bertaubat, sedangkan tempat ibadahnya itu ditinggalkannya, kemudian ia melangkahkan kakinya pergi mengembara sambil disertai dengan mengerjakan solat dan bersujud.

Akhirnya dalam pengembaraannya itu ia sampai ke sebuah pondok yang di dalamnya sudah terdapat dua belas orang fakir miskin, sedangkan lelaki itu juga bermaksud untuk menumpang bermalam di sana, kerana sudah sangat letih dari sebuah perjalanan yang sangat jauh, sehingga akhirnya dia tertidur bersama dengan lelaki fakir miskin dalam pondok itu.

Rupanya di samping kedai tersebut hidup seorang pendita yang ada setiap malamnya selalu mengirimkan beberapa buku roti kepada fakir miskin yang menginap di pondok itu dengan masing-masingnya mendapat sebuku roti. Pada waktu yang lain, datang pula orang lain yang membagi-bagikan roti kepada setiap fakir miskin yang berada di pondok tersebut, begitu juga dengan lelaki yang sedang bertaubat kepada Allah itu juga mendapat bahagian, kerana disangka sebagai orang miskin.

Rupanya salah seorang di antara orang miskin itu ada yang tidak mendapat bahagian dari orang yang membahagikan roti tersebut, sehingga kepada orang yang membahagikan roti itu ia berkata: “Mengapa kamu tidak memberikan roti itu kepadaku.” Orang yang membagikan roti itu menjawab: “Kamu dapat melihat sendiri, roti yang aku bagikan semuanya telah habis, dan aku tidak membagikan kepada mereka lebih dari satu buku roti.”
Mendengar ungkapan dari orang yang membagikan roti tersebut, maka lelaki yang sedang bertaubat itu lalu mengambil roti yang telah diberikan kepadanya dan memberikannya kepada orang yang tidak mendapat bahagian tadi. Sedangkan keesokan harinya, orang yang bertaubat itu meninggal dunia.

Di hadapan Allah, maka ditimbanglah amal ibadah yang pernah dilakukan oleh orang yang bertaubat itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun dengan dosa yang dilakukannya selama tujuh malam. Ternyata hasil dari timbangan tersebut, amal ibadat yang dilakukan selama tujuh puluh tahun itu dikalahkan oleh kemaksiatan yang dilakukannya selama tujuh malam. Akan tetapi ketika dosa yang dilakukannya selama tujuh malam itu ditimbang dengan sebuku roti yang pernah diberikannya kepada fakir miskin yang sangat memerlukannya, ternyata amal sebuku roti tersebut dapat mengalahkan perbuatan dosanya selama tujuh malam itu.

Kepada anaknya Abu Musa berkata: “Wahai anakku, ingatlah olehmu akan orang yang memiliki sebuku roti itu!”

Sesuatu yang baik itu datangnya dari ALLAH Taa'la..,dan yang buruk itu datangnya dari diri ini... 

Sunday 5 June 2011

adakah hati anda 'Mati'??

Tanda-tanda hati mati
Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.

2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.

3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.

5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.

6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.

8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.

10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya. Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;

Sebahagian?daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.
Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;


* Hubbul dunia (kasihkan dunia)

* Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)

* Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah